.
News Update :
Home » » PBNJ Rombak Pemain

PBNJ Rombak Pemain

15 Mar 2013 9:22 pm

PABLO AIMAR

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) merangka strategi baharu bagi menghadapi pusingan kedua saingan Liga Super musim ini.
Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya berkata, mereka sedang memburu dua penyerang terkemuka dunia iaitu pemain Benfica, Pablo Cesar Aimar Giordano dan ppemain handalan Paraguay, Roque Luis Santa Cruz Cantero.
“PBNJ sekarang dalam proses perbincangan bagi mendapatkan khidmat Pablo Aimar dan Santa Cruz,” katanya 
Pablo Aimar, 34, yang berasal dari Rio Cuarto, Argentina pernah bermain untuk pasukan senior River Plate sebelum menyertai Valencia (2001-2006), Real Zaragoza (2006-2008) dan Benfica pada 2008 hingga sekarang.
Sementara itu, rekod Santa Cruz juga tidak kurang hebatnya apabila dia pernah bermain bersama kelab Olympia, Bayern Munich, Blackburn Rovers, Manchester City dan kini dipinjamkan ke Malaga FC.
Santa Cruz, 32, yang dilahirkan di Asuncion, Paraguay pernah bermain untuk skuad kebangsaan pada Piala Dunia 2002, 2006 serta 2010.
Keputusan untuk mendapatkan khidmat dua penyerang terkemuka dunia itu tercetus selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan peraturan baharu pemain import baru-baru ini.
Badan induk sukan bola sepak negara itu membenarkan kemasukan pemain baharu dalam kalangan pemain tempatan bagi setiap pasukan menjelang pintu pendaftaran pemain Liga Malaysia (Liga M) dibuka pada 8 hingga 22 April ini.
PBNJ mahu menggunakan sepenuhnya kesempatan itu dan perubahan tersebut dipercayai dilakukan ekoran prestasi hambar yang dipamerkan skuad Johor Darul Takzim (Johor DT) pada kempen musim depan.
Skuad Harimau Selatan kendalian Fandi Ahmad itu dilaporkan mengalami masalah komunikasi dalam kalangan pemain-pemainnya sehingga menimbulkan dakwaan kononnya wujud sikap berpuak-puak dalam skuad berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd. Fahmy turut memberitahu, pihak persatuan akan melepaskan beberapa pemain yang gagal menunjukkan permainan baik.
Kosmo! difahamkan, skuad Harimau Selatan bakal mendapatkan khidmat empat pemain Johor yang beraksi dalam Liga Perdana dan antara nama yang disebut-sebut ialah Andre De Silva, Mohd. Farid Ramli, Muhammad Nazri Ahmad serta Jasazrin Jamaludin.
Desas-desus turut tersebar bahawa bintang Lazio, Simone Del Nero pula akan membarisi skuad Johor ekoran masih belum mempamerkan aksi cemerlang bersama Johor DT.
Bakal mengikut jejak langkah Del Nero ialah pemain Johor DT yang lain seperti K. Sathiya dan Azmi Muslim.
Bagaimanapun, rombakan seperti yang digembar-gemburkan itu masih belum diputuskan secara rasmi oleh pihak PBNJ-KOSMO

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright Matbola NetworkMAT BOLA2012-2013 | Design by MatBola Network | Powered by Matbola Network.