.
News Update :
Home » » Masalah kecederaan terus ganggu Rajagobal

Masalah kecederaan terus ganggu Rajagobal

15 Mar 2013 1:09 pm


Sejak kebelakangan ini ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk K. Rajagobal seperti tidak boleh lari daripada 'sindrom kecederaan', malah menjelang pertemuan dengan Arab Saudi, Yemen dan Palestin, dia sekali terpaksa menghadapinya masalah tersebut.

Masalah kecederaan pemain kali ini terarah kepada rangkaian pertahanan pula dan paling kritikal menimpa pemain Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim yang langsung tidak boleh menjalani latihan pada hari pertama melapor diri di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Menurut Rajagobal, tahap kecederaan pemain berusia 23 tahun di bahagian lutut itu sangat serius dan beranggapan ia tidak akan pulih dalam masa terdekat menjelang pertemuan persahabatan menentang Arab Saudi, Ahad ini.

"Selain Nik Shahrul kita juga akan melihat situasi K. Reuben, Amirizwan Taj Tajuddin dan Aidil Zafuan Abdul Radzak yang juga masih dibelenggu kecederaan begitu juga dengan Wan Zack Haikal Wan Noor. Saya akan melihat keadaan ini dan fikir apa yang sepatutnya perlu dilakukan dalam latihan," katanya kepada media semalam.

Jelasnya, sebelum perlawanan menentang Arab Saudi dan paling penting kelayakan Piala Asia 2015 Australia bertemu Yemen Jumaat minggu depan dia perlu memikirkan sebaik mungkin perancangan yang perlu dilakukan terutama ketika berdepan dengan situasi masalah kecederaan ini.

Masalah tersebut memaksa Rajagobal memanggil segera pemain yang berada dalam senarai menunggu, K. Gurusamy untuk menyertai latihan bersama-sama bagi membolehkan pemain tersebut menyesuaikan diri lebih awal bersama rakan sepasukan lain.

"Saya memang risau masalah kecederaan ini dan memanggil Gurusamy menyertai latihan bersama, kebetulan dia pula berada dekat dengan kita, secara keseluruhan pemain yang menjalani latihan sekarang adalah dalam lingkungan 29 ke 30 pemain.

"Saya akan melihat semula sama ada Wan Zack mampu pulih sebelum perlawanan menentang Yemen, tinjau keadaan kecergasannya," kata Rajagobal yang turut menyusun strategi untuk bertemu Palestin dalam satu perlawanan amal di Kuantan pada 26 Mac ini.

Ditanya mengenai peluang Mohd. Badhri Mohd. Radzi untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama, Rajagobal berkata, dia tidak akan tumpu kepada seorang pemain sahaja kerana mereka bermain dalam satu pasukan.

"Hari ini (semalam) pemain Kelantan dan Selangor baru melapor diri jadi mereka hanya menjalani latihan ringan untuk memulihkan semula kecergasan mereka selepas beraksi dalam saingan Piala AFC. Esok (hari ini) pula sudah 15 Mac jadi saya mempunyai dua hari melihat tahap pemain dari kedua-dua pasukan ini.

"Saya sedar bahawa semua pemain ini sangat diperlukan, apa yang harap mereka tidak akan berdepan dengan sebarang masalah kecederaan. Bahdri pula memang bermain baik dengan pasukan Kelantan, jadi saya akan tengok bagaimana prestasinya dalam latihan," katanya-UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright Matbola NetworkMAT BOLA2012-2013 | Design by MatBola Network | Powered by Matbola Network.