.
News Update :
Home » » Johor DT 5 bintang

Johor DT 5 bintang

3 Mar 2013 3:54 pm



PENYERANG Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha (tengah) diasak pemain Negeri Sembilan, Azmeer Yusof pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, semalam.

JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim akhirnya memenuhi reputasi sebagai skuad '5 bintang' apabila merampas peneraju Liga Super buat kali pertama dengan menumpaskan pasukan tercorot, Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam.

Kemenangan bagaimanapun tidak diraih dengan mudah, malah skuad Harimau Selatan memerlukan dua gol lewat minit dan bangkit daripada ketinggalan sebelum menceriakan 30,000 penyokong yang memenuhi stadium sejak petang.

Negeri Sembilan terlebih dulu mengejutkan tuan rumah dengan membuka jaringan menerusi kapten, Rashid Mahmud yang berjaya membolosi penjaga gawang Mohd. Zamir Selamat menerusi tendangan leret pada minit ke-28.

Begitupun, tuan rumah membalas pada minit ke-83 menerusi Kamarul Afiq, sebelum Nurul Azwan Roya mengesahkan kemenangan mereka pada minit ke-90.

Pada separuh masa pertama, Johor Darul Takzim membuat dua pertukaran iaitu membawa masuk Nurul Azwan menggantikan Mohd. Tuah Iskandar pada minit ke-35 dan Mohd Akram Mahinan menggantikan Norshahrul pada minit ke-39.

Kegigihan skuad Harimau Selatan untuk memburu kemenangan membuahkan hasil apabila Kamarul Afiq berjaya menyamakan kedudukan selepas menanduk bola hasil hantaran Simone Del Nero.

Dalam rancak memburu gol, permainan di stadium terpaksa dihentikan pada minit ke-86 selama tiga minit ekoran gangguan asap dihasilkan mercun yang dilempar penyokong tuan rumah sebelum gol kemenangan dijaringkan Nurul Azwan.

Hadir sama, menyaksikan perlawanan penuh dramatik itu ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal.

Dalam satu lagi perlawanan, Terengganu meneruskan momentum kebangkitan dengan meraih kemenangan kedua berturut-turut dengan membenam PKNS 2-0 di Stadium Shah Alam.

Jean Emmanuel Effa Owona membuka tirai jaringan pada minit ke-7 sebelum Abdul Manaf Mamat menggandakan kelebihan skuad pelawat pada minit ke-25 menerusi percubaan dari jarak 25 meter-Utusan

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright Matbola NetworkMAT BOLA2012-2013 | Design by MatBola Network | Powered by Matbola Network.