.
News Update :
Home » » Red Warriors siap sedia temu Red Giants Jumaat ini

Red Warriors siap sedia temu Red Giants Jumaat ini

14 Feb 2013 10:38 pm

Lambang Rasmi Kelantan FA

KOTA BHARU - Jentera sayap dan serangan Kelantan kini dikatakan berada pada tahap terbaik dan akan teruji dalam perlawanan pertama mereka menentang Selangor dalam saingan Piala FA Jumaat ini.
  
Ketua Jurulatih Bojan Hodak berkata pasukannya telah membuat latihan intensif sempena cuti tiga minggu kempen kelayakan Piala Asia.
  
"Para pemain kelihatan lebih baik semasa latihan. Tetapi kita akan lihat persembahan mereka nanti kerana perlawanan persahabatan dan latihan tidak sama seperti perlawanan sebenar," katanya kepada pemberita selepas mengendalikan latihan skuadnya di sini hari ini.
  
Antara bakat baharu yang disebut-sebut untuk menggalas tugas di bahagian serangan ialah Mohamad Aris Zaidi, Muhammad Izuan Mohd Salahuddin dan Faiz Subri.
  
The Red Warriors selaku juara treble musim lalu, gagal mempamerkan aksi terbaik setakat ini apabila menduduki tangga ketujuh Liga Super.
 
Musim ini, mereka kehilangan tiga tonggak utama serangan iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Nurul Azwan Roya dan Mohammad Ghaddar kepada pasukan lain.
  
Mengenai pemain import baharu Dickson Nwakaeme, 26, dari Nigeria, Bojan berkata pemain tersebut memberikan komitmen sepenuhnya dan perbincangan mengenai pengambilannya sedang rancak berjalan.
   
"Dickson bermain baik dan kini terpulang kepada pihak pengurusan dan egennya untuk menentukan sama ada dia dapat kekal atau tidak," katanya.
   
Seorang lagi pemain import yang sedang diuji Salim Arrache dari Perancis tidak kelihatan semasa latihan hari ini.
   
Sementara itu Bojan enggan mengulas mengenai laporan bahawa Kelantan bakal menguji pemain baharu dari Burkina Faso iaitu Aristide Bance.
  
Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dipetik sebagai membayangkan kesediaan Kafa untuk berbelanja besar dengan memburu seorang lagi penyerang import berprofil tinggi dari benua Afrika apabila pendaftaran pemain dibuka awal April nanti.  - Bernama

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright Matbola NetworkMAT BOLA2012-2013 | Design by MatBola Network | Powered by Matbola Network.