![]() |
| Nazmi Faiz (Kiri) Bersama Bapa Beliau |
“ANAK saya masih muda, usianya baru 19 tahun. Berilah dia peluang membuktikan kemampuannya terlebih dulu daripada berterusan dia dihentam bukan-bukan.”
Demikian kata Mansor Mustapha ketika mengulas kontroversi yang menghimpit anaknya yang juga ‘arkitek’ muda negara, Muhammad Nazmi Faiz Mansor sejak kebelakangan ini.
Nama Nazmi kini tidak ubah bagaikan ‘pisang goreng panas’ apabila dia membuat ‘pusingan U’ kembali ke tanah air selepas menamatkan kontrak selama tiga tahun bersama kelab Portugal, S.C. Beira Mar.
Disebabkan itu, Nazmi tidak sudah-sudah dikecam sebahagian besar peminat fanatik tempatan terutama di laman sosial ekoran tidak bersetuju dengan keputusannya menyertai Selangor PKNS.
Kontroversi peribadi yang mengaitkan anak kelahiran Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu bersama bekas teman wanitanya, Tengku Norshufilla, 21, yang mesra dengan panggilan Tengku Fiella juga memburukkan lagi keadaan.
Kekal ‘mengunci mulut’ mengenai sebab sebenar Nazmi menamatkan kontrak lebih awal bersama S.C. Beira Mar, Mansor sebaliknya menyifatkan kritikan demi kritikan negatif itu hanya akan ‘membunuh’ karier Nazmi.
“Masanya masih panjang untuk berjaya sebagai pemain bola sepak.
“Sebagai bapa, sudah tentu saya kecewa apabila Nazmi dikecam sebegitu rupa.
“Apa yang sudah berlaku itu biarlah, tidak ada apa-apa lagi yang perlu dimaklumkan.
“Berikan dia peluang membuktikan kemampuan, saya harap semua pihak memahami mengapa kami mengambil sikap berdiam diri,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ditanya peluang Nazmi yang tidak akan mendapat layanan istimewa dipilih secara automatik bagi mewakili Harimau Muda mempertahankan emas temasya Sukan SEA di Myanmar penghujung tahun ini, Mansor berkata: “Ia sesuatu yang normal.
“Sejak dahulu lagi kami sedar Nazmi perlu bersaing secara profesional bagi merebut tempat dalam skuad Harimau Muda.
“Tidak kira sama ada Nazmi pernah beraksi di Portugal ataupun tidak sebelum ini, dia perlu membuktikan kemampuannya terlebih dahulu.
“Kami sebagai ahli keluarga sentiasa memberikan sokongan supaya Nazmi berjaya dengan kariernya.”



0 comments:
Post a Comment