.
News Update :
Home » » FAM teliti komen Tunku Ismail

FAM teliti komen Tunku Ismail

22 Feb 2013 10:42 pm

Tunku Ismail Bersama Daniel Guiza

Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal disiasat Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ekoran komennya yang tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan bola sepak Malaysia yang dianggap lemah.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, FAM akan mengambil kira apa yang diperkatakan Tunku Ismail.

Menurut beliau, Tunku Ismail tidak boleh terlepas daripada mengikuti prosedur yang termaktub oleh undang-undang badan induk bola sepak negara terbabit.

Namun, kata beliau apa yang diluahkan oleh Tunku Ismail akan diteliti terlebih dahulu sama ada apa yang diperkatakan adalah satu pandangan berbentuk perhatian atau kritikan.

"Kenyataan Tunku akan dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib dan kedudukan baginda tetap akan dilayan seperti orang lain.

"Begitupun, segala apa diperkatakan oleh baginda akan disiasat terlebih dahulu dan dinilai sama ada kata-katanya berbentuk perhatian atau kritikan kepada FAM, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Tunku Ismail dalam laporan Utusan Malaysia kelmarin menyatakan kurang berpuas hati dengan mutu pengadilan bola sepak tanah air terutama dalam kualiti sistem pengadilan dan mengharap FAM segera mengambil tindakan susulan.

Baginda mendakwa sudah tidak boleh bersabar melihat permasalahan itu dan bersedia mengemukakan bukti dalam bentuk rakaman visual dan surat rasmi kepada FAM bagi membincangkan isu terbabit.

Mengenai insiden pergaduhan pemain Selangor dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada pusingan pertama Piala FA yang masih belum disiasat sehingga hari ini, Azzuddin menegaskan FAM tidak bersikap berdiam diri dalam soal terbabit.

"Hari ini (semalam) kami baru sahaja menerima rakaman video insiden pergaduhan terbabit dan setelah diteliti, dukacita dimaklumkan tidak ada insiden yang jelas.
"Namun berdasarkan laporan pegawai perlawanan, kes ini akan dibawa juga ke Tatatertib dan akan disiasat dalam masa terdekat," katanya.

Azzuddin menambah, satu lagi kes bakal dibawa oleh Tatatertib iaitu membabitkan perlawanan Terengganu dan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah apabila penyokong tuan rumah membaling objek semasa perlawanan.

Jelasnya, kes berkenaan lambat diadili kerana surat tunjuk sebab kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) hanya dikeluarkan pada 18 Februari baru-baru ini walaupun perlawanan berkenaan berlangsung serentak dengan pertembungan Kelantan dan Johor Darul Takzim.-UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright Matbola NetworkMAT BOLA2012-2013 | Design by MatBola Network | Powered by Matbola Network.