![]() |
| Lambang Rasmi FAM |
Demikian respons Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad ketika diminta mengulas mengenai teguran Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung FAM yang 'lambat' untuk mengambil tindakan ke atas kedua-dua pasukan berkenaan.
Azzuddin memberitahu, FAM masih mengumpul dan meneliti bukti daripada pita rakaman mengenai insiden pergaduhan yang berlaku pada aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Januari lalu.
Jelasnya, badan induk sukan bola sepak negara itu akan mengambil tindakan selepas siasatan selesai hasil daripada analisis video, laporan pegawai pertandingan serta keterangan daripada kedua-dua pasukan.
"FAM mengambil berat teguran daripada menteri berhubung isu pergaduhan antara Selangor dengan ATM.
"Pihak kami tidak lepas tangan terhadap insiden tersebut dan FAM masih mengumpul bukti-bukti kukuh sebelum melaksanakan hukuman terhadap mereka.
"Dalam kes ini, FAM tidak memilih kasih pada mana-mana pasukan dan kepada pihak yang didapati bersalah, mereka tetap akan dijatuhkan hukuman," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, Ahmad Shabery menggesa FAM menyelesaikan dengan segera mengenai insiden pergaduhan Selangor dan ATM selepas merasmikan Kejohanan Futsal Jelajah Malaysia di Kerteh, Kemaman, semalam.
Difahamkan, insiden tidak diingini itu tercetus selepas Selangor menewaskan ATM 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti apabila kedudukan terikat 2-2 selepas tamat masa perlawanan sebenar.
Pemain Gergasi Merah, Mohd. Afiq Azmi didakwa menjadi mangsa insiden itu selepas dikatakan melakukan provokasi terhadap pemain ATM yang menyebabkan dia dibaling dengan botol dan disepak oleh pemain-pemain The Gladiators.
Justeru, Ahmad Shabery menyifatkan langkah itu dilihat akan memberikan keyakinan kepada semua pihak terhadap FAM selepas dilihat 'membisu' mengenai kes itu.
Mengulas lanjut, Azzuddin menepis dakwaan itu sambil menyifatkan proses hukuman itu akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
"Tiada istilah pilih kasih. FAM tetap menjalankan tugas seperti biasa.
"Mengenai kes ini, pihak kami telah meminta pita rakaman insiden pergaduhan tersebut dan hukuman tetap dilaksanakan ke atas kedua-dua pasukan itu sekiranya bukti kukuh sudah didapati," katanya.



0 comments:
Post a Comment