.
News Update :
Home » » Bukan Skuad Remaja Myanmar Tapi Senior

Bukan Skuad Remaja Myanmar Tapi Senior

19 Feb 2013 8:53 pm

Ong Kim Swee

Perlawanan persahabatan Harimau Muda A pada Jumaat ini akan menjadi lebih mencabar apabila dijadual menentang skuad senior Myanmar yang kini dalam persiapan menghadapi kelayakan Cabaran Piala AFC 2014.

Itu jangkaan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang meletakkan harapan agar pemainnya dapat mengekalkan prestasi konsisten selepas menyertai program latihan dan perlawanan persahabatan di Queensland, Australia 23 Januari hingga 6 Februari lalu.

Kata Kim Swee, sungguhpun dijadual menentang pasukan utama Myanmar dan bukannya skuad remaja negara itu, namun jurulatih berusia 42 tahun itu tetap bertegas tidak akan memanggil pemain lain yang lebih berpengalaman untuk menghadapi perlawanan tersebut.

"Saya hanya akan membawa pemain Harimau Muda A dan ada antara mereka ini adalah pemain baru yang masih belum mempunyai pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa, namun saya tetap yakin dengan kemampuan mereka kerana dalam perlawanan persahabatan ini kami mahu melihat keserasian dalam kalangan pemain.

"Antara sebab saya tidak mahu memanggil pemain lain dari luar kerana tidak mahu mengganggu persiapan pasukan yang ketika ini bakal menghadapi saingan liga tempatan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dekat sini, semalam.

Ketika ini skuad kebangsaan Myanmar berada di kedudukan ke-164 FIFA iaitu lima tangga di bawah pasukan Malaysia.

Sementara itu, Kim Swe berkata, antara pemain yang tidak dapat dibawa untuk menyertai perlawanan persahabatan pada Jumaat ini ialah pertahanan Mohd. Amer Saidin, kapten pasukan, Mohd. Irfan Fazail dan penyerang Syahrul Azwari Ibrahim yang kini masih lagi belum pulih daripada kecederaan.

"Sebagai ganti saya akan membawa pemain baru yang masih belum mempunyai pengalaman di pentas antarabangsa seperti D. Kenny Pallraj, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan dan Adam Nor Azlin
"Jika pemain baru ini ingin terus bersama pasukan Harimau Muda A mereka perlu mempamerkan prestasi yang baik sepanjang bersama pasukan ini," kata Kim Swee.

Harimau Muda A dijadual ke Myanmar, esok sebelum menghadapi skuad kebangsaan negara itu dua hari kemudian.

Selepas menentang Myanmar, Harimau Muda bakal berkunjung ke Slovakia untuk beberapa siri perlawanan persahabatan pada Mac ini.

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright Matbola NetworkMAT BOLA2012-2013 | Design by MatBola Network | Powered by Matbola Network.