.
News Update :
Home » » Azman kembali bersama TRW

Azman kembali bersama TRW

17 Feb 2013 5:09 pm

Azman Ibrahim
Azman Ibrahim



PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengambil langkah drastik apabila melantik semula bekas Pengurus The Red Warriors (TRW) musim 2009 hingga 2012 bagi memimpin pasukan juara tiga piala itu mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengumuman tersebut dilakukan Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa menerusi laman sosialnya setelah skuad kendalian Bojan Hodak itu tewas mengejut 0-2 kepada Selangor dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

“Pegawai pasukan diminta segera memperbaiki situasi semasa yang melanda pasukan ketika ini. Urusan pentadbiran perlu diperkemas dan Azman Ibrahim diarahkan kembali menjadi Pengurus Pasukan dan Bojan Hodak bersama pembantunya diminta menumpukan aspek kejurulatihan,” katanya.

Azman yang merupakan Setiausaha Agung Kafa, ketika dihubungi Sinar Harian mengaku terkejut dengan pelantikan tersebut dan menganggap ia satu tanggungjawab besar bagi beliau untuk memulihkan kembali prestasi TRW yang merudum ketika ini.

“Sebenarnya saya tidak tahu menahu mengenai berita pelantikan jawatan Pengurus Pasukan ini. Saya baru menerima SMS (khidmat pesanan ringkas) daripada Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa pagi tadi.

“Sebelum ini pun, ada juga dengar ura-ura mengenai pelantikan tersebut namun saya menganggap ia sekadar khabar angin sahaja. Kalau keputusan ini baik untuk pasukan, saya terimalah meski pun saya sebenarnya masih belum puas berehat bersama keluarga,” katanya.

Keputusan pihak Kafa melantik bekas pengurus berusia 53 tahun itu dianggap satu keputusan tepat dalam usaha memperkasakan pasukan tersebut setelah juara treble itu hanya mampu mengutip enam mata daripada enam perlawanan yang diharungi setakat ini.

Azman yang mengumumkan persaraannya daripada pasukan Kelantan awal November tahun lalu berkata, beliau mengharapkan sokongan semua pihak termasuk penyokong setia bagi memastikan Kelantan kembali ke landasan sebenar mengharungi saingan Liga-M musim ini.

“Saya bukanlah ahli silap mata yang boleh mengubah keadaan pasukan dalam sekelip mata. Dalam keadaan prestasi pasukan merudum sekarang, kita perlu bekerja keras bagi menambahbaikan pasukan kita.

“Bagi saya, apa yang menimpa Kelantan pada musim ini sama seperti awal musim lalu. Saya harap peminat jangan terlalu memberi tekanan kepada pasukan. Bagi saya pasukan kita tidak cacat, cuma pemain berdepan krisis keyakinan dan Insya-ALLAH masalah ini boleh diatasi dengan sokongan semua pihak,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
© Copyright Matbola NetworkMAT BOLA2012-2013 | Design by MatBola Network | Powered by Matbola Network.