Kuala Lumpur: Pengurus merangkap jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tidak gusar dengan prestasi semasa skuad Red Giants yang belum mencatat sebarang kemenangan sepanjang kejohanan jemputan Piala Gabenor Acheh 2012 di Banda Acheh, Indonesia.
Skuad kendalian Irfan itu muncul naib juara Kumpulan A selepas seri 1-1 dengan Makassar United, Ahad lalu dan tewas 1-0 kepada Acheh FC, Isnin lalu.
Namun, pada aksi separuh akhir malam kelmarin, Selangor tewas 3-1 kepada Semen Padang, sekali gus bakal berdepan Brunei DPMM pada aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Harapan Bangsa, Banda Acheh, petang esok.
“Kami terpaksa beraksi 10 pemain sejak dari separuh masa pertama apabila Nasriq Baharom dilayangkan kad kuning kedua. Kami sudah berusaha sebaik mungkin tetapi ternyata Semen Padang lebih baik. Tidak dinafikan, mereka juara Liga Premier Indonesia (IPL).
Forkey Doe kurang cergas
“Apapun bagi saya, peluang berdepan empat pasukan luar yang agak baik di sini berbanding jika hanya bertemu pasukan tempatan pada aksi persahabatan sesuatu yang bagus untuk mempersiapkan pasukan,” kata Irfan ketika dihubungi di Banda Acheh, semalam.
Skuad Selangor bakal kembali ke tanah air, Ahad ini untuk mengatur empat lagi aksi persahabatan bertemu Sabah (26 Disember), Perlis (28 Disember), Kedah (30 Disember) dan Pulau Pinang (1 Januari) sebelum memulakan kempen Liga Super 2013 bertemu Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam, 8 Januari depan.
“Di sini memang saya sudah dapat menguji kombinasi dan persefahaman pemain baru. Cuma sekembali ke tanah air nanti, saya akan uji sepenuhnya S Kunalan, Francis Forkey Doe dan Asraruddin Putra Omar yang masih mencari tahap kecergasan,” jelas Irfan.



0 comments:
Post a Comment