NAMPAK gayanya, harapan segelintir peminat untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi pada waktu malam dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan tidak kesampaian.
Semalam, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan tidak akan melayan rayuan mana-mana pasukan yang terpaksa beraksi pada waktu petang gara-gara stadium mereka tidak menepati piawaian yang ditetapkan badan induk itu sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pihaknya kekal dengan keputusan sebelum ini dan tidak akan melayan rayuan mana-mana pasukan terlibat.
"Kami perlu bertindak tegas dan kekal dengan keputusan yang diambil sebelum ini.
"Justeru, tiada sebarang tarikh rayuan akan diberikan kepada mana-mana pasukan yang terlibat dan mereka akan kekal beraksi pada waktu petang," katanya kepada Kosmo! semalam.
Begitupun, Hamidin menegaskan mana-mana pasukan boleh kembali beraksi pada waktu malam setelah menaik taraf stadium masing-masing seperti mana yang sedang dilakukan di Stadium Perak, Ipoh.
"Tiada masalah (kembali menukar venue perlawanan) ke stadium asal jika piawaian itu kembali dipenuhi mana-mana pihak pengurusan stadium.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, ini bukan hukuman kepada mereka yang tidak menepati piawaian tetapi kita perlu ada standard agar ia setaraf dengan tahap kecerahan peringkat antarabangsa menjelang 2015 iaitu 1,200 lux.
"Pada masa sama, tidak ada salahnya beraksi pada waktu petang kerana ia biasa dilakukan pada temasya yang jauh lebih besar seperti Olimpik, Asia dan mana-mana kejohanan utama.
"Saya tidak rasa ia akan menjatuhkan keupayaan ataupun menjejaskan kemampuan mana-mana pasukan yang terpaksa beraksi pada waktu petang," jelasnya.
Kelmarin, Hamidin menerusi sidang akhbarnya di Wisma FAM memberitahu hanya tujuh stadium sahaja yang menepati piawaian memiliki sekurang-kurangnya lampu limpah dengan tahap kecerahan lebih 1,000 lux jika ingin mengadakan perlawanan pada sebelah malam berdasarkan peraturan 2013-2014.
Tujuh stadium terbabit ialah Stadium Shah Alam; Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu; Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi; Stadium Darul Makmur, Kuantan; Stadium Negeri, Kuching; Stadium Darul Aman, Alor Setar dan Stadium Jalan Besar, Singapura.
Begitupun, beberapa stadium lain seperti Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu; Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin; Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Stadium Perak, Ipoh dan Stadium Hang Jebat, Melaka gagal memenuhi piawaian yang ditetapkan FAM.
Perlawanan sebelah malam akan diadakan seperti biasa seperti sebelum ini iaitu pukul 8.45 malam manakala stadium yang tidak menepati piawaian akan diadakan pukul 4.45 petang-KOSMO! Online
|
Home »
» FAM tak layan rayuan - Hamidin
FAM tak layan rayuan - Hamidin
29 Dec 2012 10:55 pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



0 comments:
Post a Comment